Saya dilahirkan dan dibesarkan di Korea Utara. Walaupun keluarga saya hidup dalam kemiskinan, saya selalu dipertamai dari segi sayang dan kasih kerana saya anak lelaki tunggal dan anak bongsu antara dua adik-beradik. Akan tetapi, tahun 1994 berlakunya suatu kebuluran besar. Masa itu saya berumur 4 tahun. Saya bersama kakak saya sering pergi mencari kayu api bermula dari pukul 5 pagi sampai pulang lepas tengah malam. Saya juga akan merayau-rayau jalan raya untuk mencari makanan. Suatu kali saya ternampak seorang kanak-kanak yang diikat pada belakang ibunya sambil makan keropok, dan saya ingat merasa seperti mencuri daripadanya. Kelaparan seumpama kemaluan. Kelaparan seumpama putus asa. Untuk seorang kanak-kanak yang lapar, politik dan kebebasan tak difikirkan pun. Pada hari jadi kesembilan saya, ibu bapa saya tidak mampu untuk memberikan saya makanan. Meskipun masih kecil, saya boleh merasa perasaan berat hati mereka. Akibat kebuluran tersebut, lebih sejuta rakyat Korea Utara meninggal dunia. Semasa saya berumur 13 tahun dalam tahun 2003, ayah saya turut menjadi mangsa kebuluran. Saya nampak ayah saya menjadi letih lesu dan meninggal dunia. Dalam tahun yang sama, ibu saya menghilangkan diri, dan kakak saya memberitahu saya bahawa dia telah pergi ke negara China untuk mencari duit, tetapi tidak lama lagi akan pulang dengan makanan dan wang. Oleh kerana kami tidak pernah dipisahkan, dan sebab saya sangka kami akan kekal bersama selama-lamanya, maka saya tidak memeluk dia apabila dia pergi. Itulah kesilapan paling besar dalam hidup saya. Tetapi saya pun tidak tahu yang kami akan berpisah untuk tempoh yang lama. Sejak itu, saya tak pernah bertemu kembali dengan mak atau kakak saya. Secara tiba-tiba, saya telah menjadi anak yatim piatu yang terbiar. Kehidupan seharian saya menjadi sangat sukar, tapi juga sangat mudah. Matlamat saya hanyalah untuk mencari cebisan roti yang berdebu dalam tong sampah. Itu bukan cara baik untuk hidup. Saya mula sedar bahawa mengemis bukan penyelesaian masalah saya. Oleh itu, saya mula mencuri dari gerai makanan di pasar-pasar haram. Kadang-kadang, saya mengambil upah untuk makanan. Pernah suatu masa sewaktu musim sejuk, saya menghabiskan dua bulan bekerja dalam lombong batu arang, 33 meter di bawah tanah tanpa perlindungan sampai selama 16 jam sehari. Bukan saya seorang sahaja yang hidup sebegini. Banyak lagi anak yatim yang hidup begini, malah aga yang lebih teruk lagi. Apabila saya terasa susah nak tidur akibat sejuk yang keterlaluan ataupun akibat sakit dari kelaparan, Saya berharap yang keesokan harinya, kakak saya akan pulang untuk mengejutkan saya dengan makanan kegemaran saya. Harapan itu membantu saya untuk meneruskan hidup. Saya tak bermaksud harapan yang sangat hebat. Harapan saya adalah jenis yang membolehkan saya percaya bahawa dalam tong sampah berikutnya terdapat roti, walaupunlah biasanya tiada. Tapi kalau tak percaya, saya tak akan cuba, dan seterusnya akan mati. Harapan membantu saya untuk hidup. Tiap-tiap hari, saya memberitahu diri bahawa sesusah mana pun hidup saya, saya harus terus bertahan. Selepas tiga tahun menunggu kepulangan kakak saya, saya berputus untuk pergi ke negara China sendiri untuk mencarinya. Saya sedar yang saya tak boleh hidup lama dengan cara ini. Saya tahu perjalanan ke China akan penuh risiko, tapi tak kira cara yang manapun nyawa saya akan digadaikan juga. Saya boleh mati kelaparan seperti ayah saya di Korea Utara, atau sekurang-kurangnya saya boleh cuba mencari kehidupan yang lebih baik dan melarikan diri ke China. Saya mendapat tahu yang banyak orang cuba merentas sempadan ke China pada waktu malam supaya tidak dilihat. Pengawal sempadan Korea Utara biasanya akan menembak dan membunuh orang yang cuba merentas sempadan tanpa izin. Askar China akan tangkap dan menghantar balik orang Korea Utara, di mana mereka akan menghadapi hukuman berat. Saya mengambil keputusan untuk menyeberangi sempadan pada waktu siang, pertama sekali sebab saya masih budak dan masih takut kegelapan, kedua sebab saya tahu saya sudahpun mengambil risiko, dan sebab tak ramai orang yang cuba merentas sempadan pada waktu siang. Saya berpendapat bahawa ada peluang untuk merentas sempadan tanpa dilihat oleh sesiapa. Saya berjaya sampai ke China pada 15 Februari 2006. Masa itu, saya berumur 16 tahun. Saya sangkakan kehidupan di China lebih senang, memandangkan di sana terdapat lebih banyak makanan. Saya ingatkan lebih ramai orang akan menolong saya. Tapi kehidupan sana lebih sukar daripada kehidupan di Korea Utara, sebab saya tak bebas. Saya selalu risau akan kena tangkap dan dihantar pulang. Seperti keajaiban, beberapa bulan kemudian, Saya bertemu seseorang yang menguruskan tempat perlindungan bawah tanah untuk orang Korea Utara, dan dibenarkan untuk tinggal sana dengan makanan tetap untuk kali pertamanya selepas beberapa tahun. Kemudian, pada tahun yang sama, seorang aktivis membantu saya melarikan diri dari China dan pergi ke Amerika Syarikat sebagai orang pelarian. Saya pergi ke Amerika tanpa mengetahui sepatah perkataan bahasa Inggeris, tetapi pekerja sosial saya masih menyuruh saya untuk pergi ke sekolah menegah. Di Korea Utara pun, saya merupakan pelajar corot. (Ketawa) Dan saya hampir-hampir tak habis sekolah rendah. Dan saya ingat pernah bergaduh di sekolah lebih sekali sehari. Minat saya bukanlah buku-buku teks dan perpustakaan. Ayah saya cuba bersungguh-sungguhnya untuk memotivasikan saya untuk belajar. tapi ia masih tak berhasil. Pada suatu ketika, ayah saya putus asa dengan saya. Dia kata, "Kamu bukan anak saya lagi." Masa itu saya hanya berumur 11 atau 12, tapi saya betul-betul kecil hati. Meskipun begitu, tahap motivasi saya tidak berubah sebelum dia meninggal dunia. Jadi semasa di Amerika, saya rasa tak masuk akal apabila disuruh untuk belajar di sekolah menengah atas. Sekolah menengah rendah pun saya tak pergi. Saya mengambil keputusan untuk pergi, hanya sebab disuruh, tanpa betul-betul mencuba. Tapi suatu hari apabila pulang dari sekolah, ibu angkat saya telah memasak kepak ayam untuk makan malam. Semasa makan malam, saya keinginan mengambil satu lagi kepak ayam, tapi saya perasan tak cukup untuk semua orang, oleh itu tak jadi. Apabila saya melihat pinggan saya, saya nampak kepak ayam terakhir yang ayah angkat saya berikan. Saya berasa sungguh gembira. Saya memandang dia tengah duduk sebelah saya. Dia memandang saya balik dengan mesra, tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba saya teringat ayah kandung saya. Perbuatan kecil ayah angkat saya yang penuh kasih sayang mengingatkan saya pada ayah saya, yang gemar berkongsi makanannya dengan saya apabila dia lapar, walaupun apabila dia tengah kelaparan. Saya berasa sangat rimas sebab ada terlalu banyak makanan di Amerika, sementara ayah saya telah mati akibat kebuluran. Harapan tunggal saya pada malam itu adalah untuk memasak makanan untuknya, dan pada malam itu saya berfikir apa lagi yang boleh dibuat untuk memberi penghormatan kepadanya. Dan jawapan saya adalah untuk berjanji diri untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat pendidikan terbaik di Amerika sebagi peringatan jasanya. Saya mulai belajar lebih serius di sekolah, dan untuk pertama kalinya dalam hidup saya, saya menerima anugerah akademik untuk kecemerlangan, dan berjaya ditempatkan dalam senarai dekan dari semester pertama sekolah menengah atas. (Tepukan) Kepak ayam itu mengubah hidup saya. (Ketawa) Harapan itu peribadi. Harapan itu adalah sesuatu yang tiada sesiapa boleh dianugerahkan. Anda haruslah memilih untuk percaya harapan. Anda haruslah mencapainya sendiri. Di Korea Utara, saya mencapainya sendiri. Harapan membawa saya ke Amerika. Tapi di Amerika, saya tak tahu nak buat apa, sebab saya mendapat kebebasan yang keterlaluan. Malam itu, ayah angkat saya memberikan saya arah, dan mendorong saya serta memberikan saya tujuan hidup di Amerika. Saya tidak datang ke sini sendiri. Saya mempunyai harapan, tetapi harapan sahaja tidak memadai. Banyak orang telah membantu saya untuk sampai ke sini. Orang Korea Utara berjuang keras untuk hidup. Mereka terus memaksa diri sendiri untuk bertahan hidup, mempunyai harapan untuk hidup, tetapi mereka tak mungkin berjaya tanpa pertolongan. Inilah pesanan saya untuk sekalian. Berharaplah untuk diri sendiri, tapi bantulah satu sama lain. Hidup boleh menjadi sukar untuk semua orang, tidak kira di mana anda hidup. Ayah angkat saya tiada niat untuk mengubah hidup saya. Dengan cara yang sama, anda juga boleh mengubah kehidupan seseorang dengan perbuatan kasih sayang yang terkecil. Sekeping roti boleh menghilangkan lapar, dan harapan itu akan membawa roti untuk membantu anda hidup. Saya yakin bahawa perbuatan anda yang penuh kasih sayang boleh membantu kehidupan seorang yang lain seperti saya dan mengubah beribu-ribu orang lain seperti saya yang masih mempunyai harapan untuk hidup. Terima kasih. (Tepukan) Adrian Hong: Joseph, terima kasih kerana berkongsi cerita yang begitu peribadi dan sangat istimewa itu dengan kita. Menurut kamu, saya tahu bahawa kamu belum bertemu dengan kakak kamu, selama hampir satu dekad, dan kalau dia berpeluang untuk menonton ini, kami ingin memberi kamu sebuah peluang untuk menghantarnya suatu pesanan. Joseph Kim: dalam bahasa Korea? AH: Kamu boleh bercakap dalam bahasa Inggeris, selepas itu dalam bahasa Korea juga. (Ketawa) JK: Okay, saya tak akan membuatkannya lebih panjang dalam bahasa Korea sebab saya rasa saya tak boleh meneruskannya tanpa berair mata. Nuna, sudah genap 10 tahun yang adik tak berjumpa dengan kakak. Adik hanya nak cakap yang adik rindukan kakak, yang adik sayang kakak, dan tolong pulang kembali kepada adik dan teruskan hidup. Dan adik -- oh, alamak. Adik masih belum putus asa untuk bertemu dengan kakak. Adik akan hidup dengan gembira dan belajar bersungguh-sungguh sampai bertemu kembali dengan kakak, dan adik berjanji takkan menangis lagi. (Ketawa) Ya, adik berharap sangat untuk berjumpa dengan kakak, dan kalau kakak tak dapat jumpa adik, adik akan cari kakak juga, dan adik harap akan berjumpa dengan kakak suatu hari nanti. Boleh tak saya buat pesanan untuk ibu saya? AH: Sila. JK: Adik tak banyak menghabiskan masa dengan mak, tapi adik tahu yang mak masih sayangkan adik, dan mungkin masih berdoa untuk adik dan teringatkan adik. Adik nak ucapkan terima kasih kerana melahirkan adik ke dunia ini. Terima kasih. (Tepukan)