Dalam perjalanan tadi, saya berbual dengan penumpang di sebelah saya mengenai satu perkara menarik sepanjang penerbangan saya. Katanya, "Nampaknya Amerika Syarikat telah ketandusan pekerjaan, kerana mereka mencipta sesetengah darinya; pakar psikologi kucing, pelatih anjing, pemburu ribut. seketika kemudian, beliau bertanya, "Apa pekerjaan anda? " Saya berkata "Pembina Keamanan?" (ketawa) Setiap hari, saya berusaha untuk mempertingkatkan suara wanita dan untuk menonjolkan pengalaman mereka dan juga penglibatan mereka dalam proses keamanan dan penyelesaian konflik, dan disebabkan oleh pekerjaan saya ini, saya mendapati hanya ada satu cara untuk pastikan penglibatan wanita, seluruh dunia ialah dengan menggunakan agama. Perkara ini merupakan sesuatu yang amat penting pada saya. Sebagai seorang wanita Muslim, saya amat berbangga dengan kepercayaan saya. Ia memberikan saya kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan kerja-kerja seharian. Ia juga merupakan sebab saya berdiri di sini hari ini. Tetapi saya tidak boleh memandang remeh kemusnahan yang dilakukan atas nama agama, bukan sahaja oleh agama saya, malah kepercayaan utama di seluruh dunia. Gambaran yang salah dan penyalahgunaan serta manipulasi kitab keagamaan telah mempengaruhi norma sosial dan kebudayaan kita, undang-undang, kehidupan seharian, sehingga ke tahap kita tidak lagi mengenalinya. Kedua ibubapa saya berpindah dari Libya, Afrika Utara, ke Kanada pada awal tahun 80-an, dan saya merupakan anak tengah dari 11 orang adik beradik. Ya benar, 11. Semakin dewasa, saya dapati ibubapa saya, kedua mereka amat mentaati agama, bersembahyang dan bersyukur atas rahmat yang diterima, salah satunya adalah saya, disamping perkara lain. (ketawa) Mereka baik dan lucu serta sabar orangnya, amat penyabar, tahap kesabaran dituntut dalam membesarkan 11 orang anak. Dan mereka bersikap adil. Saya tidak pernah diukur berdasarkan kanta budaya agama. Saya dilayan sama rata, saya juga diharap untuk berfikiran sama seperti itu. Saya tidak pernah diajar bahawa Tuhan menghakimi berdasarkan jantina. Dan pada kepercayaan mereka, Tuhan adalah maha mengasihani dan maha membantu serta pemberi dan ia telah membentuk pemahaman saya terhadap kehidupan ini. Sudah tentu, bagaimana saya dibesarkan memberi saya kelebihan tambahan. Menjadi salah seorang dari 11 orang anak merupakan Diplomasi 101. (Ketawa) Sehingga sekarang, saya ditanya di mana saya mendapat pendidikan seperti, "Kennedy School of Government?" saya melihat mereka dan berkata, "Tidak, saya belajar di "Murabit School of International Affairs." Ianya amat eksklusif. Anda perlu bertanya kepada ibu saya untuk kemasukan ke situ. Nasib anda baik, ibu saya ada di sini. Tapi menjadi salah seorang dari 11 orang saudara dan mempunyai 10 adik-beradik mengajar anda banyak erti struktur kuasa dan sekutu. Ia mengajar fokus; bercakap pantas atau berkata sedikit, kerana anda akan seringkali di pintas. Ia juga mengajar erti menyampai pesanan yang betul. Anda perlu bertanya soalan yang betul untuk mendapat jawapan yang anda mahu, dan anda perlu tahu berkata tidak dengan cara yang betul demi mengekalkan keamanan. Tetapi perkara yang paling penting saya belajar ke arah menjadi dewasa, adalah betapa pentingnya untuk terus kekal berada di meja. Apabila lampu kesayangan ibu pecah, saya harus berada di situ bila ibu mencari bagaimana dan perbuatan siapa, kerana saya perlu pertahankan diri sendiri kerana jika tidak, ibu pula akan mengesyaki saya, dalam sekelip mata saya akan dihukum tidak boleh keluar. Saya bukanlah bercakap melalui pengalaman saya, Semasa saya berumur 15 tahun pada 2005, saya tamatkan sekolah dan berpindah dari Kanada -- Saskatoon -- ke Zawiya, kampung kedua ibubapa saya di Libya, satu bandar yang masih mengikut cara lama. Ingin saya kongsi dengan anda, saya cuma melawat Libya sekali sahaja untuk bercuti, sewaktu berusia tujuh tahun, ia adalah sesuatu yang luar biasa. Makan ais-krim dan pegi bersiar-siar di pantai dan bertemu saudara mara. Rupanya, keadaan bertukar sama sekali apabila saya mencecah usia 15 tahun. Saya diperkenalkan dengan aspek budaya agama saya. Perkataan "Haram" -- bermaksud dilarang oleh agama -- dan "Aib" -- bermaksud tidak sesuai dari segi budaya -- digunakan tanpa mengambil berat maksudnya sebenar. seolah-olah ianya adalah perkara yang sama dan mempunyai kesan yang serupa. Dan banyak kali saya berbincang tentang perkara ini apabila rakan sekelas rakan sekolej, profesor, kawan, malah saudara saya, mula bertanya tentang peraturan saya serta aspirasi saya. Walaupun dengan adanya asas panduan dari kedua ibubapa saya, saya masih tercari-cari peranan wanita di kaca mata agama saya. Maka, di Murabit School of International Affairs, kami menitik beratkan perbahasan, peraturan utama adalah membuat kajian, dan itu jugalah yang saya lakukan, alangkah terkejut apabila saya dapati ianya amat mudah untuk mengenalpasti wanita dari kepercayaan saya yang merupakan pemimpin, yang inovatif, yang gagah -- dari segi politik, ekonomi malahan ketenteraan. Khadijah RA telah membiayai pergerakan Islam diperingkat awal. Kita semua tidak akan berada di sini jika bukan kerananya. Jadi, kenapa kita tidak mempelajari tentang beliau? Kenapa kita tidak mempelajari tentang wanita-wanita ini? Kenapakah wanita direndahkan ke posisi pada zaman sebelum ajaran kepercayaan kita? Dan kenapa, jika kita semua sama di sisi Tuhan, kenapa pula kita wanita tidak sama taraf di mata manusia? Pada saya, ia membawa kembali ke zaman sewaktu saya membesar. Pembuat keputusan, orang yang menguasai mesej yang disampaikan, perlu duduk di meja, dan alangkah sedihnya, di dalam setiap kepercayaan dunia, mereka bukanlah wanita. Institusi keagamaan didominasi oleh lelaki dan di teraju oleh kepimpinan lelaki, dan mereka mencipta polisi sesuka hati, Dan sehingga kita berupaya merubah sistem secara keseluruhan, realistiknya kita tidak boleh mengharapkan penyertaan penuh wanita dalam bidang ekonomi dan politik. Tapak asas kita telah musnah. Ibu berkata, kita tidak boleh bina rumah yang teguh atas asas yang tidak kukuh. Pada 2011, Revolusi Libya tercetus, dan keluarga saya berada di baris hadapan. Dan ada perkara yang menarik berlaku sewaktu peperangan, Seolah-olah perubahan budaya, yang bersifat terlalu sementara, Dan ia adalah pertama kali saya berasa bukan sahaja dibenarkan untuk terlibat malah digalakkan. Ia adalah dituntut. Saya dan wanita lain mempunyai tempat duduk di meja ini. Kami tidak berpegangan tangan atau menjadi perantara, Kami sebahagian dari pembuat keputusan. Kami berkongsi maklumat. Kami adalah kumpulan yang penting. Saya inginkan dan perlukan perubahan itu kekal. Rupa-rupanya, ia bukanlah semudah itu. Ia cuma mengambil masa beberapa minggu sahaja untuk wanita-wanita tersebut kembali ke peranan asal masing-masing, dan kebanyakan dari mereka didorong oleh kata-kata semangat dari ketua-ketua agama dan ketua-ketua politik, yang mana memetik ayat-ayat dari kitab agama sebagai perisai mereka. Ia merupakan cara mereka mendapat sokongan popular kepada pendapat mereka. Pada awalnya, saya tumpukan pemerkasaan wanita dalam ekonomi dan politik. Saya berasa ia dapat menjurus ke arah perubahan budaya dan sosial. Nampaknya, ianya berhasil dengan sedikit, tidak banyak. Saya mengambil keputusan untuk menjadikan pertahanan mereka sebagai senjata saya, Saya juga telah mula menggunakan ayat-ayat dari kitab Islam. Pada 2012 dan 2013, organisasi saya memimpin kempen terbesar dan yang paling meluas di Libya. Kami melawat banyak rumah, sekolah dan universiti malah masjid. Kami bercakap dengan seramai 50,000 orang, dan beratus ribu lagi melalui papan iklan dan iklan melalui televisyen, iklan radio dan juga poster. Anda mungkin tertanya bagaimana sebuah organisasi hak asasi wanita berupaya melakukannya sedangkan komuniti ini dulunya menolak kewujudan kami. Saya menggunakan kitab. Saya guna ayat-ayat dari Al-Quran dan kata-kata dari Nabi Muhammad. Hadith atau kata-kata baginda, contohnya, "Sebaik-baik kamu, adalah yang terbaik kepada keluarganya." "Jangan biarkan saudaramu menzalimi saudara yang lain." Untuk pertama kalinya, khutbah Jumaat yang dibaca oleh imam tempatan menggalakkan hak-hak wanita. Mereka membincangkan isu larangan, seperti keganasan rumahtangga. Polisi telah diubah. Di sesetengah komuniti, kita terpaksa berusaha sehingga menggunakan Deklarasi Hak Asasi Antarabangsa, yang anda tidak setujui kerana ia tidak ditulis oleh cendekiawan agama, walhal, pegangan tersebut juga terdapat di dalam kitab kami. Sebenarnya, Bangsa-Bangsa Bersatu hanya meniru prinsip kami. Dengan menukar pesanan, kami telah berupaya memberi naratif pilihan yang mana ianya menggalakkan hak asasi wanita di Libya. Ianya merupakan sesuatu yang kini direplikasi di seluruh dunia, saya tidak mengatakan bahawa ianya senang, percayalah, ianya tidak mudah. Kaum liberal akan menuduh anda menggunakan agama dan menggelar anda kolot. Pihak konservatif pula akan menggelar anda dengan berbagai nama. Saya telah menghadapi berbagai cacian dari "Pasti ibubapa kamu malu dengan kamu" -- salah; mereka merupakan peminat utama saya -- kepada "Kamu takkan sempat menyambut hari jadi kamu" -- sekali lagi salah, kerana saya sempat merayakannya. Dan saya tetap merupakan seorang yang berpendirian bahawa hak wanita dan agama bukanlah hak saling eksklusif. Tetapi kita harus kekal berada di meja. Kita harus berhenti dari bersikap menyerah kerana dengan berdiam diri, kita membenarkan penindasan, penganiayaan berterusan terhadap wanita seluruh dunia. Dengan berikrar untuk menegakkan hak wanita dan menentang ekstrimisme dengan bom dan peperangan, kita telah lumpuhkan komuniti tempatan yang sepatutnya membincangkan isu ini agar ianya dapat dipertahankan. Bukannya mudah untuk mencabar mesej keagamaan yang telah salah. Anda akan menempuh tohmahan, diperlekehkan dan menerima ugutan. Tetapi kita harus melakukannya. Kita tiada pilihan lain selain menegakkan kembali mesej hak asasi manusia, tunggak utama kepercayaan kita, bukan untuk kita, atau wanita dalam keluarga kita, bukan demi wanita di dalam dewan ini, tidak juga untuk wanita di luar sana, tetapi demi masyarakat yang akan berubah dengan penglibatan kaum wanita. Dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya, satu-satunya pilihan yang kita ada, adalah dengan kekal berada di meja. Terima kasih. (Tepukan)